KUCHING: Tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai sejak 15 Jun lalu bagi melancarkan program vaksinasi di kawasan berkenaan.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tiga PPV tersebut ialah PPV Klinik Kesihatan Telaga Air, PPV Klinik Kesihatan Buntal dan PPV Klinik Kesihatan Santubong.
Katanya, ketiga-tiga PPV menerima sebanyak 360 permohonan setiap minggu dan dianggarkan hampir 3,300 penduduk di sini sudah menerima suntikan vaksin setakat ini.
"Sekiranya jumlah tersebut dicampur dengan PPV sementara yang diwujudkan iaitu PPV Darul Hana, hampir 4,000 penduduk di seluruh DUN Pantai Damai berjaya divaksin.
"Manakala, seramai 1,080 penduduk melibatkan 16 kampung di kawasan Telaga Air sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat hari ini ," katanya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.4 Pantai Damai.
Terdahulu, Dr Rahman turut mengadakan lawatan projek Naik Taraf Sistem Perparitan di Kampung Temedak sekali gus merasmikan majlis ringkas penyerahan simbolik kunci rumah Projek Rumah Sejahtera Pantai Damai kepada seorang penerima di kampung tersebut.
Sumber dari : Jiwa Bakti